Puteriku tercinta! Aku seorang yang telah
berusia hampir lima puluh tahun. Hilang sudah masa remaja, impian dan khayalan.
Aku telah mengunjungi banyak negeri, dan berjumpa dengan banyak orang.
Aku juga telah merasakan pahit getirnya dunia.
Oleh kerana itu dengarkan nasihat-nasihat yang benar lagi jelas, berdasarkan
pengalamanku, yang mana engkau mungkin belum pernah mendengarkannya daripada
orang lain.
Puteriku…
Dengarlah bicara dari hatiku…
Benar bahawa lelakilah yang memulai langkah
pertama dalam lorong dosa, tetapi bila engkau tidak setuju, lelaki itu tidak
akan berani, dan andaikata bukan lantaran lemah gemalaimu, lelaki tidak akan bertambah
parah. Wanitalah yang membuka pintu, seolah kau katakan kepada si pencuri itu: Silakan
masuk, silakan… Apabila ia telah mencuri, engkau berteriak: Pencuri! Tolong…!
Saya dicuri!
Demi Allah, dalam khayalan seorang pemuda tak
melihat gadis kecuali gadis itu ditelanjangi pakaiannya.
Demi Allah begitulah, jangan engkau mudah
percaya apa yang dikatakan lelaki, kebanyakan mereka tidak akan melihat gadis kecuali akhlak dan
budi bahasanya. Ia akan berbicara kepadamu sebagai seorang sahabat. Demi Allah
ia telah berbohong!
Senyuman yang diberikan pemuda kepadamu, kehalusan
budi bahasa dan perhatiannya, semua itu tidak lain hanyalah merupakan perangkap
rayuan. Setelah itu apa yang terjadi?
Kalian berdua sesaat berada dalam kenikmatan,
kemudian engkau akan ditinggalkan dan selepas itu selamanya akan merasakan
penderitaan akibat kenikmatan itu. Si lelaki akan mencari mangsa lain untuk
diterkam kehormatannya, dan engkaulah yang menanggung beban kehamilan. Jiwamu
menangis, keningmu tercoreng, hidupmu berkubang dalam kehinaan dan keaiban,
masyarakat tidak akan mengampunimu.
Puteriku…
Cita-cita tertinggi wanita adalah perkahwinan.
Bagaimana tinggi pun status sosial kekayaan, karier, populariti, prestasinya,
namun sesuatu yang paling agung dan sangat diinginkannya adalah menjadi isteri
dan ibu yang baik kepada sebuah rumah tangga yang bahagia.
Tidak ada seorang lelaki pun yang mahu menikahi
pelacur, sekalipun ia lelaki hidung belang. Apabila akan berumahtangga ia tetap
akan memilih wanita yang baik, kerana ia tidak rela suri rumah tangganya dan
ibu kepada putera puterinya adalah seorang wanita yang tidak baik.
Sesungguhnya krisis perkahwinan terjadi
disebabkan kelalaian kaum wanita! Krisis perkahwinan terjadi disebabkan
kealpaan wanita-wanita, sehingga para pemuda tidak mahukannya sebagai isteri.
Akibatnya ramai para gadis yang sudah berusia tidak mendapat suami.
Ayuh wanita-wanita yang baik, kalian perlu
sedar! Mengapa kalian tidak berusaha membanteras malapetaka ini?
Kalianlah yang lebih patut dan lebih mampu
daripada kaum lelaki untuk melakukan usaha itu kerana kalian lebih mengerti
bahasa wanita. Dan kalian lebih rapat dengan sesama mereka.
Dan justeru yang sering menjadi korban
kerosakan ini adalah wanita, maka kalian para wanita mulia dan beragama,
hendaklah kalian mengajak wanita lain agar bertaqwa kepada Allah.
Peringatkanlah mereka akan akbat yang buruk daripada pergaulan bebas, perzinaan
dan seribu satu penyakit yang berlarutan daripadanya.
Beritahu mereka keadaan yang ada: Gadis-gadis
remaja puteri yang cantik, akan ramai pemuda mendatangi kalian dan berebut di
sekitaran kalian, namun apakah kecantikan itu akan kekal? Tiada makhluk di
dunia ini yang kekal. Bagaimana kelanjutannya, bila kalian sudah menjadi tua
nanti, dengan pinggang bongkok dan wajah kerepot? Pada waktu itu siapakah yang
akan memperhatikan? Siapa yang akan simpati?
Siapakah nanti yang memerhati, menghormati dan
mencintai seseorang nenek? Mungkin hanya anak-anak dan cucu-cucunya, waktu
itulah nenek bagai seorang ratu di tengah-tengah rakyat. Namun bagaimana bisa kalian
menjadi nenek yang mulia, nenek bagai ratu di kalangan anak-anak dan cucu-cucu,
kalau kalian tidak membinanya dari rumah tangga yang terhormat dan bahagia?
Dan berilah nasihat-nasihat yang baik, saya
yakin kalian tidak perlu petunjuk orang lain serta tidak kehabisan cara untuk
menasihati saudari-saudari yang patut dikasihani dan dibimbing. Berusahalah
untuk menjadi wanita-wanita yang baik, sebagai contoh teladan kepada anak-anak
gadis yang sedang remaja, agar mereka
dapat menempuh jalan yang benar.
Puteriku…
Demi untuk berubah mengembalikan wanita kini
menjadi keperibadian Muslimah yang benar, kembalilah ke jalan yang benar walau
setapak demi setapak, sebagaimana mereka telah berusaha membina kerosakan ini
sedikit demi sedikit.
Perbaikan tersebut tidak dapat diatasi hanya
dalam waktu sehari atau dalam waktu singkat, melainkan dengan kembali ke jalan
yang benar walaupun jalan itu sekarang nampaknya amat jauh, namun ianya tidak
menjadi soal. Orang yang tidak mahu menempuh jalan yang hanya satu-satunya ini,
tidak mungkin akan sampai.
Kita mulai dengan membanteras pergaulan bebas.
Ingatlah, seorang wanita menutup aurat tidak bererti ia sudah selamat dan boleh
bergaul dengan lelaki yang bukan mahramnya dengan bebas, kecuali semuanya itu
ada batas dan sempadannya.
Jangan lupa bahawa Allah menjadikan seorang
wanita dan pasangannya adalah lelaki, yang mana satu dengan lainnya amat saling
terangsang. Baik wanita, lelaki atau seluruh penduduk dunia tidak akan mampu
mengubah keindahan ciptaan Allah ini, menafikannya atau menghapus tarikan dari
dalam jiwa mereka. Ianya adalah keperluan bagi semua manusia, namun disalurkan
pada jalan yang betul menurut syariat Allah.
Mereka akan menggembar-gemburkan kebebasan dan
pergaulan bebas atas dasar kemajuan adalah pembohong, dilihat pada dua sebab:
Pertama: kerana mereka lakukannya untuk
kepuasan diri sendiri, memberikan kenikmatan melihat anggota badan yang terbuka
dan kenikmatan-kenikmatan lain yang mereka bayangkan. Akan tetapi mereka tidak berani berterus
terang, oleh kerana itu mereka berselindung di sebalik kalimat kemajuan,
modenisasi, hak asasi dan pelbagai lagi ungkapan lain .
Kedua: kerana mereka bersaksi kepada Barat,
bagaikan kiblat, seolah-olah kebenaran adalah apa yang datang dari sana, dari
Paris, London dan New York, yang berupa tari menari, pergaulan bebas di
pusat-pusat pengajian, mendedah aurat dalam khalayak, di pantai, di kolam
renang. kebatilan menurut mereka adalah
sesuatu yang datangnya dari Timur, sekolah-sekolah Islam dan masjid-masjid,
walaupun berupa kehormatan, kemuliaan, kesucian dan keamanan. Kata mereka,
pergaulan bebas itu dapat mengurangi nafsu berahi, mendidik watak dan dapat
menekan libido seksual.
Puteriku…
Puteriku yang beriman dan beragama! Puteriku
yang terhormat dan terpelihara, ketahuilah bahawa yang menjadi korban semua ini
bukan orang lain terkecuali engkau.
Oleh kerana itu jangan berikan diri kalian
semudah itu, hanya dengan ucapan mereka yang menghalalkan pergaulan atas alasan
hak asasi, modenisme dan emansipasi. Sedangkan daku adalah seorang ayah kepada
empat orang gadis. Bila daku membela kalian bererti daku membela puteri-puteriku
sendiri. Kuingin kalian bahagia seperti yang kuinginkan untuk puteri-puteriku.
Sesungguhnya kemuliaan yang tercela tidak akan
kembali, martabat yang hilang tidak akan ditemui kembali.
Bila anak puteri jatuh, tiada yang mahu menyingsingkan
lengan untuk membangunkannya dari lembah kehinaan, yang engkau dapati mereka
hanya merebut kecantikan, apabila telah berubah dan hilang, mereka pun berlalu
pergi, persisnya seperti anjing meninggalkan bangkai yang sudah tersisa.
Inilah nasihatku padamu, puteriku. Inilah kebenaran.
Sedarilah bahawa di tanganmulah, kunci pintu perbaikan. Bila diri kalian
diperbaiki, dengan demikian umat pun kan menjadi baik .
Adaptasi daripada buku “Wahai Puteriku” oleh Ali Thanthawi
Solusi isu no 2