Tuesday 29 March 2011

Punk

            Deru ombak yang memecah pantai kupandang leka. Seketika, kulihat sebuah keluarga yang berbahagia bersantai di bawah sepohon rhu yang rendang. Aku terhibur melihat gelagat anak-anaknya yang comel berkejaran sesama sendiri.
            Kuhalakan kembali pandanganku ke laut yang kebiruan. Argh...Mengapa kenangan lalu yang penuh noda tak bisa kulupakan? Mengapa ia terus-terusan datang menghantui hidupku? Aku terlalu jahil untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Aku terhimpit. Aku bertaubat padaMU YA ALLAH...Ampunkan dosa-dosaku yang terdahulu.
            Di sinilah pertemuan kali pertama aku dengan Fairul, sahabat sejatiku dunia akhirat dan di sini jugalah aku mengerti, apa erti Islam yang sebenarnya. Fairul, betapa mulianya hatimu, dalam keadaanku yang tidak tahu hala tuju, kau datang menghulur salam perkenalan dan membawaku ke jalan yang diredhaiNYA. Aku tersenyum, ‘sudah ditetapkan qada’ dan qadarku sejak azali lagi bahawa aku akan dipertemukan dengan Fairul.’ Fikiranku melayang pada episod dua tahun lalu.
***
            Bergema bunyi yang membingitkan di kawasan pantai. Jelingan dan pandangan jelek daripada orang ramai tidak kami endahkan. Tidak kurang juga yang memandang aneh kepada kami. Mungkin pelik melihat cara kami berpakaian dan style rambut kami yang ala-ala Moihican dan Trojan ini. Aku bersama dua orang bandmateku terus-terusan melayani muzik yang kami mainkan dengan menggunakan tiga jenis alat muzik iaitu bass,gitar, dan dram. Aku menjadi pemain dram manakala Zek bermain bass dan Roy bermain gitar. Kami bermain alat muzik dan menyanyi dengan ghairahnya...Hahaha...Ya, kamilah PUNK!!!
            Usai kami membuat busking di tepi pantai itu, kami tertawa puas. Puas dapat meluahkan segala ketidakpuasan di hati kami. Di kejauhan, seorang pemuda sedang memerhatikan gelagat kami bertiga dengan begitu asyik sekali. Pandangan yang penuh persoalan.
            “Zek, Roy.” Panggilku. “Aku dah letih la, kita break kat sini dulu ye?” Pintaku pada Zek dan Roy.
            “Ok, aku pun dah rasa penat jugak ni. Tapi sebelum tu, kemas peralatan ni dulu.” Perintah Zek. Roy hanya mengangguk tanda setuju.
            “Yes, boss.” Ujarku berlawak.
            Kami mengambil masa selama setengah jam untuk mengemas semua peralatan ke atas lori. Setelah siap, aku meminta diri untuk berehat di bangku yang tersedia di situ. Aku mengambil tempat duduk yang bersebelahan dengan pemuda yang memerhatikan aku dan rakan-rakanku tadi.
            “Assalamu’alaikum, boleh saya tanya sikit?” sapa pemuda di sebelahku itu.
             Aku terpana. Terasa seperti seketul batu yang besar menghempap kepalaku ini. Aku terasa seperti disindir. Namun, kugagahi juga menjawab salam pemuda itu.
             “Err, Wa’alaikumussalam. Awak nak tanya apa?” Akhirnya aku memberi respon setelah agak lama aku berfikir.
             “Muslim?” Tanya pemuda itu agak terkejut.
             “Eh, apasal kau sibuk-sibuk nak tau aku ni muslim ke, hape ke?!!!” gertakku marah.
            “Err, maafkan saya. Saya tak berniat pun nak buat awak marah. Sekali lagi saya mohon maaf.” Pintanya yang kelihatan kaget dengan reaksiku tadi.
            “Huh, lain kali tengok orang la, ni main redah je.” Bidasku marah.
            “Awak maafkan saya tak?” Tanya pemuda itu lagi. Kali ini bersungguh-sungguh benar nampaknya.
             “Awak ni kan...Ok, saya maafkan.” Kata-kataku terhenti. Aku tidak mahu menghilangkan mood baik aku di waktu petang-petang begini.
            “Terima kasih, pandai awak main dram tu tadi. Bersemangat.” Katanya memuji.
            Aku tersenyum kelat. ‘Kau ingat aku ni makan puji? Oh pleaaaase la… Silap orang la kalau kau fikir aku macam tu.’ Aku tersedar dari khayalanku apabila terdengar pemuda itu berdehem.
             “Muzik apa yang awak main tadi? Saya tak pernah dengar pun muzik macam tu.” Tanya pemuda itu ramah dan cukup berhati-hati. Mungkin takut digertak lagi kot… Mahu ketawa rasanya melihat lelaki yang berada di depanku ini.
            “Oh, kalau awak nak tau, tulah muzik punk.” jawabku selamba.
             “Punk???” tanyanya.
            “Ye la, punk. Awak minat muzik apa?” tanyaku berbasa-basi.
            “Saya minat nasyid. Irama dan liriknya memang best dan bahasanya pun cantik. Banyak nasihat yang boleh kita dapat daripada lagu-lagu nasyid.” Terangnya panjang lebar.
            “Oh, nasyid. Saya pernah dengar tapi saya tak dapat rasakan feelnya. Hmm, awak tau punk tu apa?” soalku menguji.
            “Sebenarnya, saya tak faham apa-apa pun pasal punk. Apa yang saya tau, style rambut pacak macam rambut awak tu.” Katanya sambil menunjukkan jarinya ke arah rambutku.
            “Style rambut macam ni sebab nak menentang graviti la. Punk ni berasal daripada England pada tahun 70-an selepas peperangan. Budaya punk ni adalah budaya menentang. Awak tau menentang apa? Segalanya! Menentang tradisi, menentang kekangan, menentang pemikiran jumud, dan tak kiralah apa pun, janji menentang, sekalipun ketua yang hampeh.” Peneranganku disambut dngan anggukan daripada pemuda itu.
            “Patut la lirik yang awak dan kawan-kawan awak nyanyi tadi bunyi cam pelik je.” Luahnya.
            “Hmm, kalau awak nak tau lagi, muzik punk ni mengandungi isu-isu ketidakpuasan hati terhadap sesuatu. Dalam satu-satu lagu hanya menggunakan satu hingga empat chord sahaja. Panjangnya pula lebih kurang empat hingga lima minit. Kenapa kitorang rasa benda tu mudah? Sebab ia memberikan feel muzik yang rebel. Hahaha. Apasal awak tengok saya macam tu?” Tawaku terhenti apabila terpandangkan pemuda itu yang ralit memandangku.
            “Tak de la… macam mana awak boleh minat ngan muzik ni? Saya betul-betul hairan. Memang la lain orang lain citarasanya, tapi saya nak tau la jugak camne?” Jujur pemuda itu bertanya.
            “Awak betul-betul nak tau ke?”soalku. Terasa diri ini mula mempercayai pemuda yang berada di hadapanku ini. Dia terlalu jujur  untuk tidak dipercayai dan dia juga seorang pendengar yang setia. Argh, mudahnya aku mempercayai seseorang.
            “Kalau awak tak keberatan, saya sedia mendengarnya.”Katanya ikhlas.
            “Khai..Khai...kau tak nak balik ke?” Terdengar suara Zek memanggilku.
            “Maaf, saya terpaksa balik dulu.” Ujarku.
            “Err, boleh kita berjumpa lagi?” Tanya pemuda itu.
            “Hmm, boleh. Tapi macam mana saya nak jumpa ngan awak?” Tanyaku kembali.
            “Tiap-tiap petang saya akan ke sini, sebab rumah saya dekat dengan kawasan ni.” ujarnya. “Bolehlah awak datang sini kalau ada masa.” Tambahnya lagi.
            “Baiklah, tapi saya tak boleh janji.” Kataku lalu berjalan pergi. Sempat juga pemuda itu memberi salam kepadaku. Aku jadi malu sendiri. ‘Huh, nasib badan, dapat jumpa ngan mamat wara’ hari ni.’ Mengapa jiwa ini begitu lembut hari ni? Soalan yang tiada jawapan itu terus kubiarkan sepi tanpa jawapan.
              Seminggu berlalu terlalu pantas bagiku. Sudah merata-rata tempat kami melakukan busking. Tetapi sambutan yang mengecewakan sering kami peroleh. Tapi tidak mengapa, asalkan hati kami puas. Petang ini, kami akan membuat persembahan di pantai itu lagi. Fikirku, hari ini bolehlah aku berjumpa dengan pemuda itu lagi. Aku tersenyum bila memikirkn pemuda itu, pemuda yang tidak kutahu namanya.
              Usai membuat persembahan, aku pergi menunggu di tempat yang dijanjikan. Aku sudah memberitahu Zek dan Roy bahawa aku akan pulang sendiri hari ini. Lima belas minit aku menunggu dan penantianku terbalas dengan kehadiran pemuda itu. Pemuda itu yang hanya berbaju melayu dan berkain pelikat sempat menghadiahiku sebuah senyuman. Aku agak, lelaki ini baru pulang dari mengerjakan solat Asar di masjid berdekatan.
            “Assalamu’alaikum. Dah lama tunggu?” Sapanya lalu mengambil tempat di bangku sebelahku.
            “Wa’alaikumussalam. Taklah, lebih kurang lima belas minit je. Dalam seminggu ni, hari ni je ada peluang datang sini. Sibuk ngan busking.” Jawabku ramah. “Awak baru balik dari masjid ye?” Tanyaku.
            “Ye. Solat tu kan tiang agama. Jika kita meninggalkan solat, bermakna kita telah menghancurkan agama kita sendiri.” Ujarnya lembut tetapi tegas. Terpancar sifat seorang pemimpin padanya.
            Aku mula tertarik dengan tutur bicara pemuda ini. Lembut, agak berhati-hati ketika bercakap dan dia amat baik terhadapku walaupun aku ialah salah seorang ahli punk  yang dipandang serong oleh masyarakat.
            “Err, boleh saya tanya? Selama kita berkenalan ni, saya tak tau la pulak nama awak.” Tanyaku berkias. Sengaja aku tidak berterus-terang padanya.
            “Oh, maaf. Saya hampir terlupa nak bagi tau nama saya. Saya, Fairul. Awak?” Tanyanya.
            “Saya Khairunnisa’. Tapi kawan-kawan saya panggil Khai je.” Ujarku.
            “Oh, emm...boleh saya panggil awak Nisa’? Bunyinya lebih lembut dan makna ‘Nisa’ tu sendiri adalah wanita kan?” Katanya.
            “Nisa’?” Aku termenung memikirkannya dan akhirnya aku tersenyum dan mengangguk tanda setuju.
            “Macam mana awak boleh jadi salah seorang ahli punk ni?” Tanyanya ingin tahu.
            “Sebenarnya, saya ada masalah keluarga. Mama ngan papa saya terlalu sibuk bekerja sampai saya diabaikan. Saya sedih sebab tak ada seorang pun yang mahu mendengar luahan hati saya. Dah sekian lama saya memendam perasaan saya pada mereka sehinggalah pada suatu hari, saya bertemu dengan Roy, kawan saya yang juga salah seorang daripada bandmate saya.” Aku berhenti seketika dan menarik nafas panjang sebelum menyambung ceritaku semula. “Saya selesa bersama Roy dan dia telah perkenalkan saya dengan Zek, ahli bandmate saya yang seorang lagi. Mereka berdua yang kenalkan saya dengan punk. Saya yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka je main lagu punk akhirnya jatuh minat dengan punk ni. Kami mainkan lagu punk ni bersama-sama bagi menghidupkan lagu punk ni.” Aku menceritakan segala-galanya.
            “Sekarang ni, apa yang awak rasa? Adakah jiwa awak tenang apabila memainkan muzik punk ni?” Katanya cuba menghipnosisku.
            “Memang la pada mulanya saya teruja memainkan lagu-lagu punk. Saya puas. Puas dapat menghamburkan segala rasa tidak puas hati saya ni. Saya benci pada mama dan papa saya.” Aku terus-terusan meluahkan perasaanku.
            “Ehm, boleh saya bagi pandangan?” Fairul meminta izin memberi pandangan.
            “Boleh, sebab sekarang ni saya rasa hidup saya kosong selepas menjadi ahli punk ni. Saya juga harap ada insan yang akan mengubah saya dan bawa saya keluar dari punk ni. Hidup saya kosong. Diri seakan dah tak boleh menerima kasih sayang, tambahan pulak saya berada semakin jauh dari mama dan papa.” Ujarku dan tanpaku sedari ada air jernih mengalir di pipiku.
            “Nisa’, ibu bapa adalah segala-galanya bagi seorang anak. Awak beruntung masih mempunyai ibu bapa. Janganlah awak jadikan mereka musuh awak Nisa’. Tanpa mereka, hidup seperti tiada arah, tiada tempat pergantungan, dan…” Belum pun sempat Fairul menghabiskan katanya, aku mencelah.
            “Tapi saya dah rasa semua tu walaupun mereka masih hidup. Bahagiakah saya? Kenapa saya punya ibu bapa yang tak pernah sayang pada saya? Kenapa?!!” Bentakku dan terus menangis teresak-esak.
            “Nisa’, tak baik awak membuat kesimpulan yang sebegitu. Mereka bekerja untuk kesenangan Nisa’ jugak kan, untuk membahagiakan Nisa’. Dan semua tu adalah tanggungjawab mereka untuk memberi nafkah. Mungkin mereka terlalu sayangkan Nisa’, sampaikan mereka tak sedar, mereka juga telah membuat kesilapan dengan mengabaikan Nisa’.” Fairul memujuk.
            “Tapi itu semua hanya kemungkinan je kan?” Kataku agak sinis.
            “Kemungkinan tak bermakna perkara tu sekadar kemungkinan kan?” Fairul menguji.
            Aku mula dapat menerima kata-kata Fairul. Aku terdiam. Lama. Akhirnya Fairul memecah kesunyian yang menyelubungi kami berdua.
            “Dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi iaitu keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapanya dan kemarahan Allah terletak pada kemarahan ibu bapanya.” Ujarnya memberi pengertian.
            Aku terkesan dengan kata-kata Fairul. Betapa selama ini aku berdosa kerana memusuhi ibu bapaku. Ibuku yang mengandungkanku selama sembilan bulan sepuluh hari dan bapaku yang keluar mencari nafkah buat kami sekeluarga. Tapi apa yang aku balas? Aku telah membuatkan mama mengalirkan air mata. Aku teringat kata-kata Ustaz Ahmad ketika aku berada di tingkatan tiga bahawa ‘syurga itu di bawah telapak kaki ibu, maka bahagiakanlah jiwa mereka. Jangan biarkan mereka menangis kerana anak-anak yang derhaka.’
            “Saya...saya...Tolong bawa saya keluar dari sini, Fairul. Saya dah tak nak berada dalam kumpulan ni lagi. Tolong saya, Fairul.” Rayuku. Tangisanku semakin menjadi-jadi. Sudah hilang segala perasaan maluku pada Fairul. Memang, pada zahirnya aku nampak keras tapi hatiku mudah tersentuh dengan kata-kata yang lembut ke arah kebenaran.
            “Baiklah, saya akan tolong awak. Jom.” Katanya.
            “Hah, kita nak ke mana?” Tanyaku terpinga-pinga.
            “Pergi rumah saya. Saya akan kenalkan awak dengan ummi dan adik perempuan saya. Nanti, saya akan ajar awak mengenai agama Islam.” Janji Fairul padaku.
            “Ayah awak?” Tanyaku tidak puas hati.
            “Oh, ayah saya dah meninggal dunia empat tahun yang lalu.” Katanya tenang.
            “Err, maafkan saya. Kalau macam tu, jomlah.” Aku memberi persetujuan. Kulihat Fairul senyum padaku.
            Kami berjalan seiringan ke rumah Fairul. Dalam masa sepuluh minit, kami sudah sampai di rumah Fairul. Mataku melilau di sekeliling rumah itu. Cantik.
            “Masuklah.” Pelawanya.
            “Mak ngan adik awak tak marah ke?” Tanyaku, masih lagi risau.
            “Tak mengapa. Ummi suka kalau saya kenalkan kawan-kawan saya padanya. Ummi cakap, barulah lebih mesra kalau selalu datang ke rumah.” Kata Fairul membuang jauh-jauh perasaan risauku. Aku hanya mengangguk dan membuntuti langkah Fairul masuk ke dalam rumah.
            “Jemput duduk. Saya pergi panggil ummi dan adik saya.” Katanya lalu berlalu pergi.
            Seketika aku mengamati rumah ini. Banyak tergantung ayat-ayat suci al-Quran yang ditulis dengan pelbagai jenis khat di dinding rumah agam ini. Aku tenang sejak mula-mula menjejakkan kaki ke dalam rumah ini. Tidak lama selepas itu, muncul wanita separuh abad dan gadis belasan tahun bersama Fairul. Fikirku, itulah ummi dan adik Fairul. Mereka menghadiahiku senyuman yang cukup manis.
            “Oh, jadi inilah orangnya ye?” Sapa wanita separuh abad itu mesra. Aku kehairanan.
            “Faiarul dah cakap semuanya pada ummi.” Kata wanita separuh abad itu yang membahasakan dirinya sebagai ummi. Aku terkedu. Rupa-rupanya mereka sedang menantikan kedatanganku ke rumah mereka. Adik Fairul datang menghampiriku dan bersalaman denganku. Kami berbual sebentar, kemudian ummi menyuruh anak gadisnya membawaku ke bilik.
            “Saya Fairuz, akak?” Salam perkenalan dihulurkan.
            “Akak Nisa’, Khairunnisa’.” Jawabku pendek.
            “Cantik nama akak, macam tuannya jugak.” Puji Fairuz yang telah membuatkan aku tersipu malu. Sampai sahaja di bilik, Fairuz memintaku membersihkan diri serta berwudhu’ untuk solat Maghrib berjemaah. Fairuz juga memberi sepersalinan untukku.
            Usai solat Maghrib, Fairul menyampaikan kuliah maghrib kepada kami. Aku tekun mendengar segala ucapan dan nasihat yang diberi oleh Fairul. Aku seakan baru terbangun dari tidur. Bukannya aku tidak tahu sembahyang, bukannya aku tidak pandai mengaji, tetapi aku memaksa diriku untuk menutup pintu hatiku sendiri. Alangkah jahilnya aku.
            Selepas kuliah Maghrib, Fairul mengajarku mengaji al-Quran dan kami Solat Isya’ berjemaah. Aku dijemput makan bersama pada malam itu. Aku tenang berada di samping keluarga Fairul.
            Sejak dari hari itu, aku mula tertarik untuk belajar agama secara lebih mendalam lagi. Setiap hari aku ke rumah Fairul untuk belajar dengannya. Hari demi hari, aku mula berubah dan Alhamdulillah, aku sudah mula bertudung dan memakai baju kurung. Roy dan Zek terkejut melihat perubahanku dan mereka merestui aku keluar dari kumpulan itu. Aku juga telah berbaik semula dengan mama dan papaku. Mereka bahagia melihat perubahanku dan tidak henti-henti mengungkapkan kata-kata syukur kepada Allah Yang Esa.
***
              Peristiwa dua tahun lalu benar-benar telah menginsafkan aku. Aku tersedar apabila datang seorang budak perempuan menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Bila ditanya surat ini daripada siapa, tidak pula diketahuinya. Aku mengucapkan terima kasih padanya. Lantas, budak itu pergi bersama seulas senyuman. Aku membuka surat yang berwarna biru itu. Tertulis bait-bait lagu yang didendangkan oleh kumpulan In-team.

Wanita,hiasan dunia,
Seindah hiasan adalah wanita solehah,yang
Akan membahagiakan syurga,
Di dalam rumah tangga...Hanya itu yang
Kuinginkan dari insan yang
Amat kusayang...Damaikanlah resah hatiku…
Aku rindu kasih dan sayangmu..

                                                                                   
Daripada suamimu,
                                                                                                 FairulSolihin...

No comments:

Post a Comment