Monday 9 December 2013

Resipi Kerabu Mangga

balik kampung...ooo balik kampung...ooo balik kampung...hati girang...

Assalamu'alaikum dari Keluarga Tok Ime Wi Wakaf Lichong :)

emm...suka nak cerita...bila dah ramai-ramai berkumpul di kampung, macam-macam lah menu yang nak disediakan...tapi untuk kali  ini, saya  suka  nak berkongsi  menu menarik gabungan resipi ma dan teh, iaitu kerabu mangga...hehe...cara nak sediakannya pun simple dan paling penting sodappp...kerabu mangga ni boleh dimakan bersama nasi atau boleh dimakan begitu sahaja...hohoho



Bahan-bahan
1 ½ kg mangga lemak (diparut halus)
2 sudu besar sambal belacan
1 ½  labu bawang besar dicencang halus
4 sudu besar udang kering
1 sudu garam / secukup rasa  
3 sudu besar gula
3 sudu besar sunquick
2 biji limau nipis 

* Gaul semua bahan hingga sebati            

Mudah dan ringkas kan???hehe...selamat mencuba!!!                                      

Saturday 23 November 2013

Adab-Adab Menyambut Kelahiran Bayi

Alhamdulillah...syukur ke hadrat Illahi dengan kelahiran puteri ke-5 bapa saudara...penyeri rumah tangga pasangan Md Saifullizan dan Nora :)

Seindah dan sesuci Maryam


Imam al-Ghazali telah mengemukakan beberapa adab menyambut kelahiran cahaya mata iaitu:

1. Jangan terlalu gembira apabila menerima anak lelaki atau terlalu berdukacita apabila mendapat anak perempuan. Berapa ramai orang yang dianugerahi anak lelaki berasa kesal di  kemudian hari. Dia berangan kalaulah anak itu tidak dilahirkan sama sekali atau anak itu perempuan. Bahkan menerima anak  perempuan itu ada kalanya lebih besar pahalanya. Hal ini sebagaimana hadis daripada Anas bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai dua orang anak perempuan atau saudara perempuan, lalu ia berbuat baik kepada kedua-duanya selama ia berdamping dengan mereka, nanti kelak di dalam syurga, saya dan dia seperti dua jari ini.” (Riwayat Ibn Hibban)

2. Melaungkan azan di telinga bayi sebaik sahaja ia dilahirkan.

3. Memberikan nama yang baik. Sesiapa yang telah diberikan nama yang tidak baik, sunat diubah nama itu dengan nama yang lain.

4. Aqiqah iaitu menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki atau seekor kambing bagi anak perempuan. Kemudian disedekahkan emas atau perak seberat rambut yang dicukur pada hari ketujuh.

5. Tahnik atau disebut belah mulut iaitu dengan memasukkan sedikit benda manis seperti kurma ke dalam mulut bayi itu.

Oleh: Datuk Haji Ismail Kamus 
Al-Ustaz isu no 5  

Wednesday 13 November 2013

BINTANG SYURGA

Bismillahirrahmaanirrahim...

Alhamdulillah...

Setelah sekian lama, jari ini kembali ringan untuk menaip kalimah-kalimah indah ilham dari Allah s.w.t...


Bintang Syurga,
pasti kami mencumburuimu...
Engkau insan mulia...
Hidup walaupun rohmu telah terpisah dari jasad...
Senyummu mekar saat diangkat ke Syurga...
Terzahir pada jasad tidak bernyawa...
Mana mungkin tiada insan yang cemburu melihat kesyahidanmu...
Begitu erat engkau memegang ayat Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 74:

"Karena itu hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat berperang di jalan Allah. Barangsiapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan, maka  kelak akan Kami berikan kepadanya pahala yang besar."



Tidak semua yang mampu menyahut seruan jihadMu...


Jeritan, darah, kematian...
Arghhh!!!
Sangkamu matimu hanya sia-sia...
Engkau lupa janji yang telah Allah pahat di dalam al-Quran warisan agung...
Nah, hadamkan kembali janji-janji Allah dalam Surah  Ali-'Imran ayat 169-170:

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah  itu  mati; bahkan mereka itu hidup di sisi TuhanNya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan karunia Allah yang diberikanNya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati."

Syurga itu mahal maharnya...


Bukan sekadar menyatakan di bibir tapi diiktiqadkan dengan qalbi...
Lalu dilaksanakan dengan anggota...
Allah berfirman dalam Surah  at-Taubah ayat 111:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjiNya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."

Ayuh, bangkitlah wahai mujahid...
Menyahut seruan jihad...
Mendamba Syurga Teragung Illahi...



Dengarkanlah, Bintang Syurga nyanyian UNIC dan Raqib Majid..

Biar darah jadi baja
Biar tulangku menjadi tunggangnya
Islam tetap di puncak
Biar imanku terus melonjak

Aku tegar
Aku rela
Sekalipun aku dihenyak

Burung-burung hijau terbang
Rohku tenang melayang
Syurga firdausi menungguku datang

Bidadari pun tersenyum
Merindu cumbu harum
Di saat cinta mekarku bercantum

Pergiku tak kembali
Keranan memburu nikmat syurgawi
Itulah yang hakiki itu yang abadi
Dan ku tidak mati
Bahkan hidup dengan rezki Illahi

Kejayaan (kejayaan)
Kebahagiaan (kebahagiaan)
Bintang syuhada yang dirindukan

Datang datanglah wahai syahid
Dambaan mujahid
Aku relakan sakit yang sedikit

Dari tahanan sementara
Biar aku nestapa
Demi bahagia untuk selamanya



Sekian...

USAH BICARA

Usah bicara soal cinta
Jika kita sendiri gagal mendapatkan cintaNYA
Usah bicara soal kasih
Jika kita sendiri membuang rasa kasihNYA
Usah bicara soal rindu
Jika kita takpernah menghargai kehadiranNYA
Dan
Usah bicara soal setia
Jika takpernah cuba mengenaliNYA
Rasa cinta, kasih, rindu, dan setia
Hanyalah pada Yang Esa
Kuseru namaMU Ya Allah

Jadikanlah aku dari kalangan hambaMu yang dikasihi



Thursday 15 November 2012

Wahai Puteriku


Puteriku tercinta! Aku seorang yang telah berusia hampir lima puluh tahun. Hilang sudah masa remaja, impian dan khayalan. Aku telah mengunjungi banyak negeri, dan berjumpa dengan banyak orang.

Aku juga telah merasakan pahit getirnya dunia. Oleh kerana itu dengarkan nasihat-nasihat yang benar lagi jelas, berdasarkan pengalamanku, yang mana engkau mungkin belum pernah mendengarkannya daripada orang lain. 

Puteriku…
Dengarlah bicara dari hatiku…

Benar bahawa lelakilah yang memulai langkah pertama dalam lorong dosa, tetapi bila engkau tidak setuju, lelaki itu tidak akan berani, dan andaikata bukan lantaran lemah gemalaimu, lelaki tidak akan bertambah parah. Wanitalah yang membuka pintu, seolah kau katakan kepada si pencuri itu: Silakan masuk, silakan… Apabila ia telah mencuri, engkau berteriak: Pencuri! Tolong…! Saya dicuri! 

Demi Allah, dalam khayalan seorang pemuda tak melihat gadis kecuali gadis itu ditelanjangi pakaiannya.

Demi Allah begitulah, jangan engkau mudah percaya apa yang dikatakan lelaki, kebanyakan mereka   tidak akan melihat gadis kecuali akhlak dan budi bahasanya. Ia akan berbicara kepadamu sebagai seorang sahabat. Demi Allah ia telah berbohong!    

Senyuman yang diberikan pemuda kepadamu, kehalusan budi bahasa dan perhatiannya, semua itu tidak lain hanyalah merupakan perangkap rayuan. Setelah itu apa yang terjadi?  


Kalian berdua sesaat berada dalam kenikmatan, kemudian engkau akan ditinggalkan dan selepas itu selamanya akan merasakan penderitaan akibat kenikmatan itu. Si lelaki akan mencari mangsa lain untuk diterkam kehormatannya, dan engkaulah yang menanggung beban kehamilan. Jiwamu menangis, keningmu tercoreng, hidupmu berkubang dalam kehinaan dan keaiban, masyarakat tidak akan mengampunimu.


Puteriku…

Cita-cita tertinggi wanita adalah perkahwinan. Bagaimana tinggi pun status sosial kekayaan, karier, populariti, prestasinya, namun sesuatu yang paling agung dan sangat diinginkannya adalah menjadi isteri dan ibu yang baik kepada sebuah rumah tangga yang bahagia.

Tidak ada seorang lelaki pun yang mahu menikahi pelacur, sekalipun ia lelaki hidung belang. Apabila akan berumahtangga ia tetap akan memilih wanita yang baik, kerana ia tidak rela suri rumah tangganya dan ibu kepada putera puterinya adalah seorang wanita yang tidak baik.

Sesungguhnya krisis perkahwinan terjadi disebabkan kelalaian kaum wanita! Krisis perkahwinan terjadi disebabkan kealpaan wanita-wanita, sehingga para pemuda tidak mahukannya sebagai isteri. Akibatnya ramai para gadis yang sudah berusia tidak mendapat suami.

Ayuh wanita-wanita yang baik, kalian perlu sedar! Mengapa kalian tidak berusaha membanteras malapetaka ini?
Kalianlah yang lebih patut dan lebih mampu daripada kaum lelaki untuk melakukan usaha itu kerana kalian lebih mengerti bahasa wanita. Dan kalian lebih rapat dengan sesama mereka.

Dan justeru yang sering menjadi korban kerosakan ini adalah wanita, maka kalian para wanita mulia dan beragama, hendaklah kalian mengajak wanita lain agar bertaqwa kepada Allah. Peringatkanlah mereka akan akbat yang buruk daripada pergaulan bebas, perzinaan dan seribu satu penyakit yang berlarutan daripadanya.

Beritahu mereka keadaan yang ada: Gadis-gadis remaja puteri yang cantik, akan ramai pemuda mendatangi kalian dan berebut di sekitaran kalian, namun apakah kecantikan itu akan kekal? Tiada makhluk di dunia ini yang kekal. Bagaimana kelanjutannya, bila kalian sudah menjadi tua nanti, dengan pinggang bongkok dan wajah kerepot? Pada waktu itu siapakah yang akan memperhatikan? Siapa yang akan simpati?

Siapakah nanti yang memerhati, menghormati dan mencintai seseorang nenek? Mungkin hanya anak-anak dan cucu-cucunya, waktu itulah nenek bagai seorang ratu di tengah-tengah rakyat. Namun bagaimana bisa kalian menjadi nenek yang mulia, nenek bagai ratu di kalangan anak-anak dan cucu-cucu, kalau kalian tidak membinanya dari rumah tangga yang terhormat dan bahagia?   

Dan berilah nasihat-nasihat yang baik, saya yakin kalian tidak perlu petunjuk orang lain serta tidak kehabisan cara untuk menasihati saudari-saudari yang patut dikasihani dan dibimbing. Berusahalah untuk menjadi wanita-wanita yang baik, sebagai contoh teladan kepada anak-anak gadis yang sedang  remaja, agar mereka dapat menempuh jalan  yang benar.


Puteriku…

Demi untuk berubah mengembalikan wanita kini menjadi keperibadian Muslimah yang benar, kembalilah ke jalan yang benar walau setapak demi setapak, sebagaimana mereka telah berusaha membina kerosakan ini sedikit demi sedikit.

Perbaikan tersebut tidak dapat diatasi hanya dalam waktu sehari atau dalam waktu singkat, melainkan dengan kembali ke jalan yang benar walaupun jalan itu sekarang nampaknya amat jauh, namun ianya tidak menjadi soal. Orang yang tidak mahu menempuh jalan yang hanya satu-satunya ini, tidak mungkin akan sampai.

Kita mulai dengan membanteras pergaulan bebas. Ingatlah, seorang wanita menutup aurat tidak bererti ia sudah selamat dan boleh bergaul dengan lelaki yang bukan mahramnya dengan bebas, kecuali semuanya itu ada batas dan sempadannya.

Jangan lupa bahawa Allah menjadikan seorang wanita dan pasangannya adalah lelaki, yang mana satu dengan lainnya amat saling terangsang. Baik wanita, lelaki atau seluruh penduduk dunia tidak akan mampu mengubah keindahan ciptaan Allah ini, menafikannya atau menghapus tarikan dari dalam jiwa mereka. Ianya adalah keperluan bagi semua manusia, namun disalurkan pada jalan yang betul menurut syariat Allah.

Mereka akan menggembar-gemburkan kebebasan dan pergaulan bebas atas dasar kemajuan adalah pembohong, dilihat pada dua sebab:

Pertama: kerana mereka lakukannya untuk kepuasan diri sendiri, memberikan kenikmatan melihat anggota badan yang terbuka dan kenikmatan-kenikmatan lain yang mereka bayangkan. Akan tetapi mereka tidak berani berterus terang, oleh kerana itu mereka berselindung di sebalik kalimat kemajuan, modenisasi, hak asasi dan pelbagai lagi ungkapan lain .

Kedua: kerana mereka bersaksi kepada Barat, bagaikan kiblat, seolah-olah kebenaran adalah apa yang datang dari sana, dari Paris, London dan New York, yang berupa tari menari, pergaulan bebas di pusat-pusat pengajian, mendedah aurat dalam khalayak, di pantai, di kolam renang. kebatilan  menurut mereka adalah sesuatu yang datangnya dari Timur, sekolah-sekolah Islam dan masjid-masjid, walaupun berupa kehormatan, kemuliaan, kesucian dan keamanan. Kata mereka, pergaulan bebas itu dapat mengurangi nafsu berahi, mendidik watak dan dapat menekan libido seksual.


Puteriku…

Puteriku yang beriman dan beragama! Puteriku yang terhormat dan terpelihara, ketahuilah bahawa yang menjadi korban semua ini bukan orang lain terkecuali engkau.

Oleh kerana itu jangan berikan diri kalian semudah itu, hanya dengan ucapan mereka yang menghalalkan pergaulan atas alasan hak asasi, modenisme dan emansipasi. Sedangkan daku adalah seorang ayah kepada empat orang gadis. Bila daku membela kalian bererti daku membela puteri-puteriku sendiri. Kuingin kalian bahagia seperti yang kuinginkan untuk puteri-puteriku.

Sesungguhnya kemuliaan yang tercela tidak akan kembali, martabat yang hilang tidak akan ditemui kembali.

Bila anak puteri jatuh, tiada yang mahu menyingsingkan lengan untuk membangunkannya dari lembah kehinaan, yang engkau dapati mereka hanya merebut kecantikan, apabila telah berubah dan hilang, mereka pun berlalu pergi, persisnya seperti anjing meninggalkan bangkai yang sudah tersisa.

Inilah nasihatku padamu, puteriku. Inilah kebenaran. Sedarilah bahawa di tanganmulah, kunci pintu perbaikan. Bila diri kalian diperbaiki, dengan demikian umat pun kan menjadi baik .
                                   
Adaptasi daripada buku  “Wahai Puteriku” oleh Ali Thanthawi
Solusi isu no 2                     



Wednesday 4 May 2011

Bila Bumi Merintih


Bumi
Dulu keindahanmu memikat hati
Dengan kehijauan dedaunan
Ombak berlagu indah
Cicip-cicip burung menyanyi riang
Di sana ada alam yang bergembira…

Namun kini
Kau begitu rakus membaham alam
Ombak bergulung-gulung membidas amarah
Matahari pula seakan mahu membakar hangus
Taufan yang melanda tiada belas
Bumi merekah seolah jijik dengan penghuninya…

Tatkala itu
Menceridau suara manusia
Tangis, pekik, laung
Bergelimpangan jasad serata tempat
Memekik, menangis hiba
Mencari-cari jasad yang hilang…

Nah, terimalah habuannya!
Siapa lagi yang mahu dipersalahkan?
Bumikah? Atau segarakah?
Apakah seantero alam mahu dituding?
Manusia semakin taksir
Tidak gentarkah sama Munkar dan Nakir?
Apa, tidak takutkah pada Allah?

Hutan belantara sudah botak
Bukit bukau mulai gondol
Bumi ibarat padang jarak padang tekukur
Habis dinodai alam ini…

Bila bumi merintih
Tiada siapa yang peduli
Bila bumi menangis
Tiada siapa pun yang mengerti
Selara terus-terusan memenuhi dada-dada bumi…

Kemusnahan mesti diqisaskan dengan kemusnahan jua
Ngauman sang tsunami menenggelamkan
Gegaran bumi menimbuskan
Sang hujan berterusan menangis hiba
Sang suria semakin memuncak darjahnya…

Nah, rasakan manusia!
Rasakan kembali keperitan kami
Kini, bumi semakin redum
Tiada lagi warna keceriaan
Tenggelam bersama…
Bila bumi merintih…

Tuesday 29 March 2011

Punk

            Deru ombak yang memecah pantai kupandang leka. Seketika, kulihat sebuah keluarga yang berbahagia bersantai di bawah sepohon rhu yang rendang. Aku terhibur melihat gelagat anak-anaknya yang comel berkejaran sesama sendiri.
            Kuhalakan kembali pandanganku ke laut yang kebiruan. Argh...Mengapa kenangan lalu yang penuh noda tak bisa kulupakan? Mengapa ia terus-terusan datang menghantui hidupku? Aku terlalu jahil untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Aku terhimpit. Aku bertaubat padaMU YA ALLAH...Ampunkan dosa-dosaku yang terdahulu.
            Di sinilah pertemuan kali pertama aku dengan Fairul, sahabat sejatiku dunia akhirat dan di sini jugalah aku mengerti, apa erti Islam yang sebenarnya. Fairul, betapa mulianya hatimu, dalam keadaanku yang tidak tahu hala tuju, kau datang menghulur salam perkenalan dan membawaku ke jalan yang diredhaiNYA. Aku tersenyum, ‘sudah ditetapkan qada’ dan qadarku sejak azali lagi bahawa aku akan dipertemukan dengan Fairul.’ Fikiranku melayang pada episod dua tahun lalu.
***
            Bergema bunyi yang membingitkan di kawasan pantai. Jelingan dan pandangan jelek daripada orang ramai tidak kami endahkan. Tidak kurang juga yang memandang aneh kepada kami. Mungkin pelik melihat cara kami berpakaian dan style rambut kami yang ala-ala Moihican dan Trojan ini. Aku bersama dua orang bandmateku terus-terusan melayani muzik yang kami mainkan dengan menggunakan tiga jenis alat muzik iaitu bass,gitar, dan dram. Aku menjadi pemain dram manakala Zek bermain bass dan Roy bermain gitar. Kami bermain alat muzik dan menyanyi dengan ghairahnya...Hahaha...Ya, kamilah PUNK!!!
            Usai kami membuat busking di tepi pantai itu, kami tertawa puas. Puas dapat meluahkan segala ketidakpuasan di hati kami. Di kejauhan, seorang pemuda sedang memerhatikan gelagat kami bertiga dengan begitu asyik sekali. Pandangan yang penuh persoalan.
            “Zek, Roy.” Panggilku. “Aku dah letih la, kita break kat sini dulu ye?” Pintaku pada Zek dan Roy.
            “Ok, aku pun dah rasa penat jugak ni. Tapi sebelum tu, kemas peralatan ni dulu.” Perintah Zek. Roy hanya mengangguk tanda setuju.
            “Yes, boss.” Ujarku berlawak.
            Kami mengambil masa selama setengah jam untuk mengemas semua peralatan ke atas lori. Setelah siap, aku meminta diri untuk berehat di bangku yang tersedia di situ. Aku mengambil tempat duduk yang bersebelahan dengan pemuda yang memerhatikan aku dan rakan-rakanku tadi.
            “Assalamu’alaikum, boleh saya tanya sikit?” sapa pemuda di sebelahku itu.
             Aku terpana. Terasa seperti seketul batu yang besar menghempap kepalaku ini. Aku terasa seperti disindir. Namun, kugagahi juga menjawab salam pemuda itu.
             “Err, Wa’alaikumussalam. Awak nak tanya apa?” Akhirnya aku memberi respon setelah agak lama aku berfikir.
             “Muslim?” Tanya pemuda itu agak terkejut.
             “Eh, apasal kau sibuk-sibuk nak tau aku ni muslim ke, hape ke?!!!” gertakku marah.
            “Err, maafkan saya. Saya tak berniat pun nak buat awak marah. Sekali lagi saya mohon maaf.” Pintanya yang kelihatan kaget dengan reaksiku tadi.
            “Huh, lain kali tengok orang la, ni main redah je.” Bidasku marah.
            “Awak maafkan saya tak?” Tanya pemuda itu lagi. Kali ini bersungguh-sungguh benar nampaknya.
             “Awak ni kan...Ok, saya maafkan.” Kata-kataku terhenti. Aku tidak mahu menghilangkan mood baik aku di waktu petang-petang begini.
            “Terima kasih, pandai awak main dram tu tadi. Bersemangat.” Katanya memuji.
            Aku tersenyum kelat. ‘Kau ingat aku ni makan puji? Oh pleaaaase la… Silap orang la kalau kau fikir aku macam tu.’ Aku tersedar dari khayalanku apabila terdengar pemuda itu berdehem.
             “Muzik apa yang awak main tadi? Saya tak pernah dengar pun muzik macam tu.” Tanya pemuda itu ramah dan cukup berhati-hati. Mungkin takut digertak lagi kot… Mahu ketawa rasanya melihat lelaki yang berada di depanku ini.
            “Oh, kalau awak nak tau, tulah muzik punk.” jawabku selamba.
             “Punk???” tanyanya.
            “Ye la, punk. Awak minat muzik apa?” tanyaku berbasa-basi.
            “Saya minat nasyid. Irama dan liriknya memang best dan bahasanya pun cantik. Banyak nasihat yang boleh kita dapat daripada lagu-lagu nasyid.” Terangnya panjang lebar.
            “Oh, nasyid. Saya pernah dengar tapi saya tak dapat rasakan feelnya. Hmm, awak tau punk tu apa?” soalku menguji.
            “Sebenarnya, saya tak faham apa-apa pun pasal punk. Apa yang saya tau, style rambut pacak macam rambut awak tu.” Katanya sambil menunjukkan jarinya ke arah rambutku.
            “Style rambut macam ni sebab nak menentang graviti la. Punk ni berasal daripada England pada tahun 70-an selepas peperangan. Budaya punk ni adalah budaya menentang. Awak tau menentang apa? Segalanya! Menentang tradisi, menentang kekangan, menentang pemikiran jumud, dan tak kiralah apa pun, janji menentang, sekalipun ketua yang hampeh.” Peneranganku disambut dngan anggukan daripada pemuda itu.
            “Patut la lirik yang awak dan kawan-kawan awak nyanyi tadi bunyi cam pelik je.” Luahnya.
            “Hmm, kalau awak nak tau lagi, muzik punk ni mengandungi isu-isu ketidakpuasan hati terhadap sesuatu. Dalam satu-satu lagu hanya menggunakan satu hingga empat chord sahaja. Panjangnya pula lebih kurang empat hingga lima minit. Kenapa kitorang rasa benda tu mudah? Sebab ia memberikan feel muzik yang rebel. Hahaha. Apasal awak tengok saya macam tu?” Tawaku terhenti apabila terpandangkan pemuda itu yang ralit memandangku.
            “Tak de la… macam mana awak boleh minat ngan muzik ni? Saya betul-betul hairan. Memang la lain orang lain citarasanya, tapi saya nak tau la jugak camne?” Jujur pemuda itu bertanya.
            “Awak betul-betul nak tau ke?”soalku. Terasa diri ini mula mempercayai pemuda yang berada di hadapanku ini. Dia terlalu jujur  untuk tidak dipercayai dan dia juga seorang pendengar yang setia. Argh, mudahnya aku mempercayai seseorang.
            “Kalau awak tak keberatan, saya sedia mendengarnya.”Katanya ikhlas.
            “Khai..Khai...kau tak nak balik ke?” Terdengar suara Zek memanggilku.
            “Maaf, saya terpaksa balik dulu.” Ujarku.
            “Err, boleh kita berjumpa lagi?” Tanya pemuda itu.
            “Hmm, boleh. Tapi macam mana saya nak jumpa ngan awak?” Tanyaku kembali.
            “Tiap-tiap petang saya akan ke sini, sebab rumah saya dekat dengan kawasan ni.” ujarnya. “Bolehlah awak datang sini kalau ada masa.” Tambahnya lagi.
            “Baiklah, tapi saya tak boleh janji.” Kataku lalu berjalan pergi. Sempat juga pemuda itu memberi salam kepadaku. Aku jadi malu sendiri. ‘Huh, nasib badan, dapat jumpa ngan mamat wara’ hari ni.’ Mengapa jiwa ini begitu lembut hari ni? Soalan yang tiada jawapan itu terus kubiarkan sepi tanpa jawapan.
              Seminggu berlalu terlalu pantas bagiku. Sudah merata-rata tempat kami melakukan busking. Tetapi sambutan yang mengecewakan sering kami peroleh. Tapi tidak mengapa, asalkan hati kami puas. Petang ini, kami akan membuat persembahan di pantai itu lagi. Fikirku, hari ini bolehlah aku berjumpa dengan pemuda itu lagi. Aku tersenyum bila memikirkn pemuda itu, pemuda yang tidak kutahu namanya.
              Usai membuat persembahan, aku pergi menunggu di tempat yang dijanjikan. Aku sudah memberitahu Zek dan Roy bahawa aku akan pulang sendiri hari ini. Lima belas minit aku menunggu dan penantianku terbalas dengan kehadiran pemuda itu. Pemuda itu yang hanya berbaju melayu dan berkain pelikat sempat menghadiahiku sebuah senyuman. Aku agak, lelaki ini baru pulang dari mengerjakan solat Asar di masjid berdekatan.
            “Assalamu’alaikum. Dah lama tunggu?” Sapanya lalu mengambil tempat di bangku sebelahku.
            “Wa’alaikumussalam. Taklah, lebih kurang lima belas minit je. Dalam seminggu ni, hari ni je ada peluang datang sini. Sibuk ngan busking.” Jawabku ramah. “Awak baru balik dari masjid ye?” Tanyaku.
            “Ye. Solat tu kan tiang agama. Jika kita meninggalkan solat, bermakna kita telah menghancurkan agama kita sendiri.” Ujarnya lembut tetapi tegas. Terpancar sifat seorang pemimpin padanya.
            Aku mula tertarik dengan tutur bicara pemuda ini. Lembut, agak berhati-hati ketika bercakap dan dia amat baik terhadapku walaupun aku ialah salah seorang ahli punk  yang dipandang serong oleh masyarakat.
            “Err, boleh saya tanya? Selama kita berkenalan ni, saya tak tau la pulak nama awak.” Tanyaku berkias. Sengaja aku tidak berterus-terang padanya.
            “Oh, maaf. Saya hampir terlupa nak bagi tau nama saya. Saya, Fairul. Awak?” Tanyanya.
            “Saya Khairunnisa’. Tapi kawan-kawan saya panggil Khai je.” Ujarku.
            “Oh, emm...boleh saya panggil awak Nisa’? Bunyinya lebih lembut dan makna ‘Nisa’ tu sendiri adalah wanita kan?” Katanya.
            “Nisa’?” Aku termenung memikirkannya dan akhirnya aku tersenyum dan mengangguk tanda setuju.
            “Macam mana awak boleh jadi salah seorang ahli punk ni?” Tanyanya ingin tahu.
            “Sebenarnya, saya ada masalah keluarga. Mama ngan papa saya terlalu sibuk bekerja sampai saya diabaikan. Saya sedih sebab tak ada seorang pun yang mahu mendengar luahan hati saya. Dah sekian lama saya memendam perasaan saya pada mereka sehinggalah pada suatu hari, saya bertemu dengan Roy, kawan saya yang juga salah seorang daripada bandmate saya.” Aku berhenti seketika dan menarik nafas panjang sebelum menyambung ceritaku semula. “Saya selesa bersama Roy dan dia telah perkenalkan saya dengan Zek, ahli bandmate saya yang seorang lagi. Mereka berdua yang kenalkan saya dengan punk. Saya yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka je main lagu punk akhirnya jatuh minat dengan punk ni. Kami mainkan lagu punk ni bersama-sama bagi menghidupkan lagu punk ni.” Aku menceritakan segala-galanya.
            “Sekarang ni, apa yang awak rasa? Adakah jiwa awak tenang apabila memainkan muzik punk ni?” Katanya cuba menghipnosisku.
            “Memang la pada mulanya saya teruja memainkan lagu-lagu punk. Saya puas. Puas dapat menghamburkan segala rasa tidak puas hati saya ni. Saya benci pada mama dan papa saya.” Aku terus-terusan meluahkan perasaanku.
            “Ehm, boleh saya bagi pandangan?” Fairul meminta izin memberi pandangan.
            “Boleh, sebab sekarang ni saya rasa hidup saya kosong selepas menjadi ahli punk ni. Saya juga harap ada insan yang akan mengubah saya dan bawa saya keluar dari punk ni. Hidup saya kosong. Diri seakan dah tak boleh menerima kasih sayang, tambahan pulak saya berada semakin jauh dari mama dan papa.” Ujarku dan tanpaku sedari ada air jernih mengalir di pipiku.
            “Nisa’, ibu bapa adalah segala-galanya bagi seorang anak. Awak beruntung masih mempunyai ibu bapa. Janganlah awak jadikan mereka musuh awak Nisa’. Tanpa mereka, hidup seperti tiada arah, tiada tempat pergantungan, dan…” Belum pun sempat Fairul menghabiskan katanya, aku mencelah.
            “Tapi saya dah rasa semua tu walaupun mereka masih hidup. Bahagiakah saya? Kenapa saya punya ibu bapa yang tak pernah sayang pada saya? Kenapa?!!” Bentakku dan terus menangis teresak-esak.
            “Nisa’, tak baik awak membuat kesimpulan yang sebegitu. Mereka bekerja untuk kesenangan Nisa’ jugak kan, untuk membahagiakan Nisa’. Dan semua tu adalah tanggungjawab mereka untuk memberi nafkah. Mungkin mereka terlalu sayangkan Nisa’, sampaikan mereka tak sedar, mereka juga telah membuat kesilapan dengan mengabaikan Nisa’.” Fairul memujuk.
            “Tapi itu semua hanya kemungkinan je kan?” Kataku agak sinis.
            “Kemungkinan tak bermakna perkara tu sekadar kemungkinan kan?” Fairul menguji.
            Aku mula dapat menerima kata-kata Fairul. Aku terdiam. Lama. Akhirnya Fairul memecah kesunyian yang menyelubungi kami berdua.
            “Dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi iaitu keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapanya dan kemarahan Allah terletak pada kemarahan ibu bapanya.” Ujarnya memberi pengertian.
            Aku terkesan dengan kata-kata Fairul. Betapa selama ini aku berdosa kerana memusuhi ibu bapaku. Ibuku yang mengandungkanku selama sembilan bulan sepuluh hari dan bapaku yang keluar mencari nafkah buat kami sekeluarga. Tapi apa yang aku balas? Aku telah membuatkan mama mengalirkan air mata. Aku teringat kata-kata Ustaz Ahmad ketika aku berada di tingkatan tiga bahawa ‘syurga itu di bawah telapak kaki ibu, maka bahagiakanlah jiwa mereka. Jangan biarkan mereka menangis kerana anak-anak yang derhaka.’
            “Saya...saya...Tolong bawa saya keluar dari sini, Fairul. Saya dah tak nak berada dalam kumpulan ni lagi. Tolong saya, Fairul.” Rayuku. Tangisanku semakin menjadi-jadi. Sudah hilang segala perasaan maluku pada Fairul. Memang, pada zahirnya aku nampak keras tapi hatiku mudah tersentuh dengan kata-kata yang lembut ke arah kebenaran.
            “Baiklah, saya akan tolong awak. Jom.” Katanya.
            “Hah, kita nak ke mana?” Tanyaku terpinga-pinga.
            “Pergi rumah saya. Saya akan kenalkan awak dengan ummi dan adik perempuan saya. Nanti, saya akan ajar awak mengenai agama Islam.” Janji Fairul padaku.
            “Ayah awak?” Tanyaku tidak puas hati.
            “Oh, ayah saya dah meninggal dunia empat tahun yang lalu.” Katanya tenang.
            “Err, maafkan saya. Kalau macam tu, jomlah.” Aku memberi persetujuan. Kulihat Fairul senyum padaku.
            Kami berjalan seiringan ke rumah Fairul. Dalam masa sepuluh minit, kami sudah sampai di rumah Fairul. Mataku melilau di sekeliling rumah itu. Cantik.
            “Masuklah.” Pelawanya.
            “Mak ngan adik awak tak marah ke?” Tanyaku, masih lagi risau.
            “Tak mengapa. Ummi suka kalau saya kenalkan kawan-kawan saya padanya. Ummi cakap, barulah lebih mesra kalau selalu datang ke rumah.” Kata Fairul membuang jauh-jauh perasaan risauku. Aku hanya mengangguk dan membuntuti langkah Fairul masuk ke dalam rumah.
            “Jemput duduk. Saya pergi panggil ummi dan adik saya.” Katanya lalu berlalu pergi.
            Seketika aku mengamati rumah ini. Banyak tergantung ayat-ayat suci al-Quran yang ditulis dengan pelbagai jenis khat di dinding rumah agam ini. Aku tenang sejak mula-mula menjejakkan kaki ke dalam rumah ini. Tidak lama selepas itu, muncul wanita separuh abad dan gadis belasan tahun bersama Fairul. Fikirku, itulah ummi dan adik Fairul. Mereka menghadiahiku senyuman yang cukup manis.
            “Oh, jadi inilah orangnya ye?” Sapa wanita separuh abad itu mesra. Aku kehairanan.
            “Faiarul dah cakap semuanya pada ummi.” Kata wanita separuh abad itu yang membahasakan dirinya sebagai ummi. Aku terkedu. Rupa-rupanya mereka sedang menantikan kedatanganku ke rumah mereka. Adik Fairul datang menghampiriku dan bersalaman denganku. Kami berbual sebentar, kemudian ummi menyuruh anak gadisnya membawaku ke bilik.
            “Saya Fairuz, akak?” Salam perkenalan dihulurkan.
            “Akak Nisa’, Khairunnisa’.” Jawabku pendek.
            “Cantik nama akak, macam tuannya jugak.” Puji Fairuz yang telah membuatkan aku tersipu malu. Sampai sahaja di bilik, Fairuz memintaku membersihkan diri serta berwudhu’ untuk solat Maghrib berjemaah. Fairuz juga memberi sepersalinan untukku.
            Usai solat Maghrib, Fairul menyampaikan kuliah maghrib kepada kami. Aku tekun mendengar segala ucapan dan nasihat yang diberi oleh Fairul. Aku seakan baru terbangun dari tidur. Bukannya aku tidak tahu sembahyang, bukannya aku tidak pandai mengaji, tetapi aku memaksa diriku untuk menutup pintu hatiku sendiri. Alangkah jahilnya aku.
            Selepas kuliah Maghrib, Fairul mengajarku mengaji al-Quran dan kami Solat Isya’ berjemaah. Aku dijemput makan bersama pada malam itu. Aku tenang berada di samping keluarga Fairul.
            Sejak dari hari itu, aku mula tertarik untuk belajar agama secara lebih mendalam lagi. Setiap hari aku ke rumah Fairul untuk belajar dengannya. Hari demi hari, aku mula berubah dan Alhamdulillah, aku sudah mula bertudung dan memakai baju kurung. Roy dan Zek terkejut melihat perubahanku dan mereka merestui aku keluar dari kumpulan itu. Aku juga telah berbaik semula dengan mama dan papaku. Mereka bahagia melihat perubahanku dan tidak henti-henti mengungkapkan kata-kata syukur kepada Allah Yang Esa.
***
              Peristiwa dua tahun lalu benar-benar telah menginsafkan aku. Aku tersedar apabila datang seorang budak perempuan menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Bila ditanya surat ini daripada siapa, tidak pula diketahuinya. Aku mengucapkan terima kasih padanya. Lantas, budak itu pergi bersama seulas senyuman. Aku membuka surat yang berwarna biru itu. Tertulis bait-bait lagu yang didendangkan oleh kumpulan In-team.

Wanita,hiasan dunia,
Seindah hiasan adalah wanita solehah,yang
Akan membahagiakan syurga,
Di dalam rumah tangga...Hanya itu yang
Kuinginkan dari insan yang
Amat kusayang...Damaikanlah resah hatiku…
Aku rindu kasih dan sayangmu..

                                                                                   
Daripada suamimu,
                                                                                                 FairulSolihin...