Wednesday 4 May 2011

Bila Bumi Merintih


Bumi
Dulu keindahanmu memikat hati
Dengan kehijauan dedaunan
Ombak berlagu indah
Cicip-cicip burung menyanyi riang
Di sana ada alam yang bergembira…

Namun kini
Kau begitu rakus membaham alam
Ombak bergulung-gulung membidas amarah
Matahari pula seakan mahu membakar hangus
Taufan yang melanda tiada belas
Bumi merekah seolah jijik dengan penghuninya…

Tatkala itu
Menceridau suara manusia
Tangis, pekik, laung
Bergelimpangan jasad serata tempat
Memekik, menangis hiba
Mencari-cari jasad yang hilang…

Nah, terimalah habuannya!
Siapa lagi yang mahu dipersalahkan?
Bumikah? Atau segarakah?
Apakah seantero alam mahu dituding?
Manusia semakin taksir
Tidak gentarkah sama Munkar dan Nakir?
Apa, tidak takutkah pada Allah?

Hutan belantara sudah botak
Bukit bukau mulai gondol
Bumi ibarat padang jarak padang tekukur
Habis dinodai alam ini…

Bila bumi merintih
Tiada siapa yang peduli
Bila bumi menangis
Tiada siapa pun yang mengerti
Selara terus-terusan memenuhi dada-dada bumi…

Kemusnahan mesti diqisaskan dengan kemusnahan jua
Ngauman sang tsunami menenggelamkan
Gegaran bumi menimbuskan
Sang hujan berterusan menangis hiba
Sang suria semakin memuncak darjahnya…

Nah, rasakan manusia!
Rasakan kembali keperitan kami
Kini, bumi semakin redum
Tiada lagi warna keceriaan
Tenggelam bersama…
Bila bumi merintih…

No comments:

Post a Comment